Thursday, July 15, 2010

Menjaga Hati

Jom Kongsi bahan bacaan ni yang di petik dari en zahir zainudin.


Setiap orang yang dilahirkan memiliki hati (qalbu). Dengan hati, kita membentuk berbagai-bagai jenis pepatah atau peribahasa yang menggambarkan keadaan seseorang. Jika dikata ‘senang hati’ tandanya gembira, happy atau dalam ‘mood yang sangat ceria’. ‘Patah hati’ bererti kecewa, gagal atau up set mungkin kerana cinta tidak berbalas. ‘Hati batu’ pula bermaksud degil, keras kepala atau stubborn. ‘Sakit hati’ ialah perasaan marah kesan daripada dihina, dimalukan atau tewas dalam pertandingan. ‘Kecil hati’ sesuai untuk orang yang sensitif. ‘Iri hati’ adalah cemburu, jealous atau boleh juga kita sifatkan sebagai tidak senang dengan kejayaan orang lain.

Hati juga menjadi perhatian masyarakat kita. Lalu banyak peribahasa yang dihiaskan dengan hati seperti ‘hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah’ yang bermaksud pembahagian yang sama rata, banyak sama-sama banyak, sedikit sama-sama sedikit. Hati gajah memang besar tetapi hati kuman kena teropong dengan mikroskop.

‘Hati bagai pelepah, jantung bagai jantung pisang’ bererti orang yang tidak ada perasaan ataupun dalam bahasa mudahnya ‘hati kering’. Bagi menyatakan sifat tidak boleh dipercayai, muncul peribahasa ‘lain di mulut, lain di hati’ iaitu yang dikatakan berlainan sama sekali dengan yang di dalam hati.

Hati juga menjadi perhatian untuk menyatakan keadaan semosi. Biasanya dalam masyarakat Melayu, emosi ini dinyatakan dalam bentuk terselindung dan penuh makna dalam bentuk pantun. Jika ada perasaan rindu, mereka akan menggarap ayat-ayat indah dan dipantunkan dengan penuh perasaan. Salah satunya berbunyi, ‘Orang Acheh pulang ke Acheh, sampai ke Acheh terus ke Bentan; hati kasih bertambah kasih, bila tak jumpa bergoncang iman.’ Maksud pantun ini ialah rindu yang bersangatan boleh memberi kesan kepada keyakinan dan kepercayaan diri.

Hati yang terdapat di dalam diri seseorang boleh jadi bercahaya, gelap, hidup, sakit ataupun mati. Seseorang yang nampak sihat tidak bermakna hatinya juga sihat, mungkin sebaliknya. Oleh kerana itulah, Rasulullah saw menyatakan jika hati cenderung kepada kebaikan, seluruh kehidupan akan menjadi baik dan sejahtera.

‘Ketahuilah di dalam badan ada seketul daging, apabila ia baik, baiklah badan seluruhnya. Dan apabila rosak, rosaklah badan sekaliannya. Ketahuilah, itulah hati.’

Hati adalah pembentuk watak dan sifat seseorang. Hati menjadi tempat yang menggerakkan atau menhentikan, memperelok atau mencederakan. Rasulullah menjelaskan bahawa hati yang baik menjadikan pemikiran, tingkah laku dan jiwa sentiasa mengingati kebesaran Allah swt, bertindak melaksanakan perintah-Nya dan menjauhi semua perkara syubhah.

Kekuatan hati berkait rapat dengan iman seseorang. Hati menjadi pusat atau nadi keimanan. Bagi menguatkan iman, hati mestilah diluruskan kerana akal hanya mampu menguatkan keyakinan. Justeru untuk menguatkan akal, hati mesti dibetulkan dahulu.

Maksud hadis yang diriwayatkan daripada Anas, 'Tidak lurus iman seseorang hamba hingga (lurus dulu) hatinya'. Iman yang kuat dan mantap akan menggerakkan kebaikan. Kebaikan dan keburukan amat bergantung kepada hati sebagai pusat operasi kehidupan. Hati dan jiwa wajar dipelihara dan disuburkan dengan iktiqad yang benar, kepercayaan yang luhur dan keyakinan yang bersih.

No comments:

Post a Comment

Apa Komen Anda? :-)

Note: Only a member of this blog may post a comment.